TIPS DAN PETUA PEMANCING Buah-buahan masam ubat mabuk laut MASIH banyak petua atau amalan yang perlu dilakukan oleh pemancing terutama kepada pemancing laut dalam yang sering menghadapi mabuk atau mual tekak ketika ekspedisi. Pandangan beberapa veteran nelayan boleh diberi perhatian mengenai masalah ini. Mual atau mabuk laut berlaku sejak dulu lagi dan pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya. Hasilnya, pelbagai cara dan kaedah dilakukan bagi mengekang musibah itu yang pasti akan membantutkan keseronokan dan pemburuan. Namun paling mudah dan berkesan ialah dengan membawa makanan ringan seperti buahbuahan atau gula-gula yang tidak keterlaluan masamnya. Gula-gula yang ada rasa masam biarkan sentiasa berada dalam mulut untuk mengelak tekak tidak kering. Cengkih juga dapat membantu sebagai langkah ikhtiar mencegah daripada menghadapi mabuk atau mual serta tekak kering. Pernah berlaku dalam beberapa aktiviti memancing laut dalam, keadaan cuaca panas terik mengakibatkan beberapa kaki pancing diserang mabuk, mual-mual dan tekak kering. Walaupun mereka sudah meneguk beberapa botol air tetapi keadaan masih berada pada tahap yang sama. Namun setelah diberi cengkih untuk beberapa ketika, keadaan mabuk dan kering tekak dapat dipulihkan. Kemudian anda perlu mengelak daripada terus mendedahkan diri di bawah bahang panas matahari dalam tempoh yang lama. Faktor lain yang perlu diambil kira ialah memakan buah-buahan masam yang mengandungi banyak air supaya badan sentiasa berada dalam keadaan lembap dan berair selain daripada berpeluh. Pada masa sama, anda perlu mengambil tindakan ketika berada di laut untuk mengelak daripada terus mabuk dan muntah. Antara petua terbaik demi menjaga keselamatan, anda dinasihatkan tidak membongkok di bibir bot dengan menghulurkan kepala keluar ketika melepaskan muntah. Perbuatan ini sangat berbahaya kerana risiko anda boleh terhumban ke laut sangat besar dalam keadaan kawalan diri anda yang sudah tidak menentu atau tidak seimbang itu. Namun dalam apa juga keadaan, kerjasama daripada semua pemancing dalam bot mesti dilakukan bagi bertindak sebagai sebuah pasukan. Memancing duduk ketika gelora lebih selamat KALANGAN pemancing laut perlu mengutamakan keselamatan diri dalam apa juga keadaan ketika memancing terutama bila berlaku ribut dan gelombang besar. Cara terbaik ketika menghadapi situasi begini ialah pemancing harus berjaga-jaga dengan tidak berdiri dalam bot jika tangan tidak dapat berpaut pada tiang yang kukuh. Juga, jangan berada di tepi kiri dan kanan bot kerana tindakan ini tidak menjamin keselamatan anda. Pernah berlaku peristiwa pemancing tercampak ke laut ketika memancing dalam keadaan berdiri, begitu cerita tekong dari Kuala Pahang yang sudah berusia 82 tahun dan kini sudah menetap di darat. Pak Ali menceritakan detik cemas ketika membawa pemancing dari Johor Bahru dalam keadaan ribut dan gelombang setinggi dua meter. Mereka masih berlabuh di unjam kerana ikan selar bermusim dan
peluang ini tidak mahu dilepaskan. Mereka menggunakan teknik pancing apollo dalam keadaan yang kurang selesa namun seorang daripada mereka berdiri di kawasan tepi bot walaupun ditegur tekong. Akhirnya, beliau tidak dapat mengawal keseimbangan diri kerana bot dilambung ombak lalu tercampak ke laut. Bagaimanapun, mangsa dapat diselamatkan oleh tekong. “Saya terpaksa terjun untuk menyelamatkan pemancing berkenaan,” kata Pak Ali sambil menggelenggelengkan kepala. Justeru, daripada pengalaman pahit dan keadaan berbahaya itu maka ia perlu dijadikan satu iktibar bahawa memancing dalam keadaan berdiri ketika laut bergelora perlu mengambil kira keselamatan diri sebelum terjadi sesuatu yang boleh mengorbankan nyawa. Apa yang terbaik pada pandangan Pak Nuri jika keadaan laut tidak mengizinkan tetapi terpaksa memancing juga, maka langkah terbaik yang boleh kita melakukan ialah memancing dalam keadaan duduk (walaupun tidak selesa). Namun itu lebih baik daripada menerima padah yang lebih buruk atau berdiri dengan mengikat badan pada tiang yang kukuh dengan tali yang juga kuat. Sebaik-baiknya, anda gunakan tali pinggang dengan kain getah yang kukuh. Apa pun ini satu langkah keselamatan atau ikhtiar yang boleh diguna pakai jika hasrat untuk terus memancing dalam keadaan laut yang bergelora. Tetapi, nasihat tekong perlu dipatuhi kerana dia lebih arif dan waras dalam detik-detik cemas begitu. Sebagai petua atau amalan, memancing dalam keadaan berdiri membuka ruang yang lebih luas kepada risiko terhumban ke laut berbanding memancing dalam keadaan duduk. Pak Nuri ingin mengingatkan kepada pemancing laut supaya mengutamakan keselamatan diri daripada mendapat keselesaan atau terlalu teruja untuk mendapatkan habuan. Cara lebih selamat dan ini pasti langkah bijak ialah bot pergi berlindung di balik pulau atau masuk ke muara ketika laut bergelora. Ingat, nyawa tidak ada tukar gantinya. Buaya pantang dayung melintang KUALA KETIL: Bagi yang ingin memancing dalam suasana tanpa gangguan terutama di sungai yang ada buaya, petua Abdul Wahab Zakaria, 50, boleh diguna pakai. Apatah lagi bagi pemancing yang terkena ‘badi’ udang galah, petua amalan Abdul Wahab sejak sekian lama bukan saja mampu menghindar gangguan sang bedal malah joran lebih mudah memperdayakan si sepit biru itu. Petua itu diwarisi daripada arwah ayahnya, yang memang pakar menjejak lubuk udang galah suatu ketika dulu. Dengan izin Allah, Abdul Wahab yang juga mahir menjinakkan udang galah belum pernah mengalami kejadian tidak diingini ketika memancing. Petuanya amat mudah, katanya yang menetap di Kampung Padang, Kulim. “Ketika anda memancing sama ada dalam bot atau sampan yang berlabuh di tengah atau di tepi sungai, pendayung jangan diletakkan dalam keadaan melintang. Kalau membawa galah pun perlu jangan diletakkan melintang,” katanya. Seelok-eloknya, pendayung atau galah perlu diletakkan dalam keadaan membujur (selari dengan kedudukan bot atau perahu). Berdasarkan pengalaman memancing bersama arwah ayahnya, jika petua itu diabaikan, akibatnya ialah
mengundang gangguan buaya. Beliau berkata, raja sungai itu amat pantang jika pemancing meletakkan pendayung atau galah melintang perahu ataupun bot. “Kalau dibuat juga, pemancing akan menerima musibah. Buaya akan mengganas dan kalau silap hari bulan, nyawa akan jadi pertaruhan! “Arwah ayah pernah menceritakan seorang kawannya yang memancing seorang diri di Sungai Sedim suatu ketika dulu diganggu buaya gara-gara terlupa meletakkan pendayung pada kedudukan yang betul. “Dua ekor buaya timbul di permukaan sungai kira-kira tiga meter dari perahunya. Menyedari berdepan bahaya, dia segera beredar dari situ dan merapatkan perahu ke tebing sungai,” katanya. Sebaik saja dia naik ke tebing, tiba-tiba kelihatan ekor buaya melibas bahagian belakang perahunya. Bahagian itu berkecai akibat libasan buaya yang seakan-akan memberi amaran,” katanya. Abdul Wahab berkata, jika seseorang mengamalkan petua itu, pemancing bukan saja tidak diganggu buaya malah akan memperoleh tangkapan udang galah yang lumayan. Bagaimanapun, katanya, faktor cuaca dan keadaan air sungai juga perlu diambil kira. “Memang tidak dinafikan, di mana banyak udang galah, di situlah ada buaya. Berhati-hatilah jika memancing udang galah,” nasihatnya lagi. Keselamatan memancing penting MEMAKAI jaket keselamatan ketika memancing di laut atau sungai sudah diamalkan sejak dulu lagi oleh pelaut ketika dalam sebarang keadaan lebih-lebih lagi keadaan cuaca laut, buruk. Bertitik tolak daripada itu Petua Pak Nuri kali ini mengajak kaki pancing berkongsi pengalaman yang dikaitkan dengan beberapa peristiwa dilalui oleh mereka yang sudah berdepan dengan kejadian terhumban ke laut kerana tidak memakai jaket keselamatan berbanding mereka yang sentiasa mengenakan jaket berkenaan ketika berada dalam bot. Keselamatan yang diperoleh walaupun tidak 100 peratus oleh mereka yang memakai jaket keselamatan ketika bertarung di permukaan laut, tetapi adalah lebih baik daripada mereka yang tidak memakainya. Pengalaman ini dilalui sendiri oleh seorang pelaut dari Kampung Dumpar di Muar, Johor, yang terpaksa bertarung hampir 12 jam di Selat Melaka. Dia cuma dapat bergayut pada sekeping papan sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lain yang secara kebetulan menjalankan aktiviti memancing udang. “Sampan saya karam dilambung ombak besar yang datang dengan tiba-tiba. Jaket keselamatan ada tetapi saya tak sempat memakainya,” kata Yaakob (Haji Yaakob) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Pantai, Muar, baru-baru ini. Pengalaman pahit itu mahu dikongsi bersama dengan rakan pelaut lain supaya dapat menggalakkan mereka memakai jaket keselamatan setiap masa walaupun waktu tidur kerana menurut pendapatnya yang sudah melalui pelbagai peristiwa di laut bahawa keselamatan diri perlu diutamakan daripada keselesaan. Tidak guna keselesaan sekiranya boleh mengundang bahaya yang datang dengan tiba-tiba, katanya. Apa pun persediaan tidak memberi makna jika kita sendiri tidak mahu menggunakannya walaupun menyedari keselamatan nyawa ketika berada di laut. Lautan bukan tempat untuk bermain atau boleh
diajak berjanji. Justeru daripada pengalaman anak pelaut di Kampung Dumpar itu boleh dijadikan satu amalan baik atau petua yang harus diamalkan hari ini. Jaket keselamatan tetap penting setiap kali turun memancing walaupun cuma memancing di kuala sungai. Bahaya yang akan datang tidak melalui kompang atau menggunakan juruhebah sebelum sampai ke lokasi. Segala petua yang baik tidak sukar dilakukan dan ia tidak mengeluarkan belanja sesen pun untuk diikuti, cuma keyakinan dalam diri itu sendiri perlu ada dan tidak lupa mohon pertolongan dari Allah. Rahsia air jerang berkhasiat tinggi KALI ini Pak Nuri mahu memetik petua amalan seorang tua nelayan yang hingga hari ini masih berupaya mendayung sampan berulang alik mencari rezeki di togok (kelong) di perairan Parit Jawa, Muar, Johor. Usia beliau kini menjangkau 86 tahun. Warga tua ini yang banyak menimba ilmu dari laut sejak kecil, masih meneruskan kegemaran mengisi masa lapang di laut. Walaupun kerja ini kurang disenangi isteri dan anak-anaknya tetapi beliau merasakan laut banyak memberi ketenangan kepada jiwanya. Dikenali sebagai Pak Mion, beliau mengamalkan meminum air jerang (air panas yang disejukkan pada kadar sederhana). “Pakcik minum seawal pagi. Sebelum membasuh muka, air panas mati (jerang) diminum segelas besar selepas membaca selawat. Lakukan (teguk) dengan satu nafas jika terdaya,” kata Pak Mion sambil tersenyum dengan menampakkan barisan giginya yang masih kukuh berbaris dalam mulutnya. Di samping itu, beliau turut melakukan senaman kecil di halaman rumah sebaik selesai menunaikan solat subuh. Beliau menghirup udara pagi yang pasti menyegar dan melapangkan dada. “Udara pagi sebelum terbit mata hari adalah baik untuk kita. Kita membuat senaman supaya badan dapat mengeluarkan peluh dan bila berpeluh pasti badan sihat,” katanya lagi sambil mengingatkan supaya kita tidak memaksa diri untuk melakukan senaman yang berat. “Cukup hanya mengeluarkan peluh dengan menggerak-gerak otot yang bekerja untuk beberapa minit saja. Selepas itu, kita berehatlah,” katanya dengan nada selamba tetapi penuh dengan pengajaran. Justeru, melalui petua tradisi ini, Pak Nuri menyeru kepada semua kaki pancing supaya dapat mengamalkan senaman ringan ini di mana saja kita berada terutama ketika berada dalam bot dan dilakukan seawal pagi - itu pasti lebih mujarab! Di samping itu, kita perlu mengamalkan minum air masak pada setiap waktu. Lagi banyak kita minum, lebih baik untuk kesihatan dalam perut dan kesihatan keseluruhannya. Dalam apa pun tindakan apa dilakukan oleh kaki pancing, jangan sekali-kali lupa atau lengah mengambil air minum yang banyak (air jerang). Tetapi awas - anda tidak mengamalkan meminum air yang dicampur dengan ketul ais. Air batu sebenarnya cuma dapat memberikan kelegaan daripada panas tekak untuk seketika. Tetapi ia tidak mendatangkan kebaikan kepada kesihatan yang berkekalan berbanding dengan air masak. Pak Mion masih terus mengamalkan air masak atau air suam hingga hari ini yang membolehkan masih kelihatan sihat hingga mencecah usia 86 tahun. Kenapa kita tidak? Cara elak alah ikan talang
SEBUT saja ikan talang tentu berkait rapat dengan ikan kering yang lumrah berada di pasaran tempatan terutama di kalangan pembekal ikan masin di seluruh negara, namun tidak kurang juga mereka yang kurang berminat untuk makan kerana akan menimbulkan pelbagai penyakit. Tentu ada cara untuk mengelak daripada terkena penyakit berkenaan selepas memakannya. Justeru Petua Pak Nuri kali ini cuba mendapatkan ikhtiar bagi mereka yang alah jika menyentuh atau makan ikan talang yang dikatakan sangat enak itu. Daripada risik yang diperoleh daripada beberapa rakan yang berpengalaman jika seseorang itu alah dengan ikan talang terutama menyebabkan gatal seluruh badan selepas memakannya langkah yang perlu diambil ialah dengan mengoreng sebahagian ikan talang hingga garing dan tumbuk isi ikan terbabit hingga hancur dan halus lalu disapukan di tempat alahan untuk beberapa kali lalu membiarkannya hingga kering. Spesies ikan talang yang terkenal dengan menyambar umpan di permukaan air sangat ganas ketika bertarung terutama apabila merasai dirinya (ikan) sudah menjadi mangsa pemancing. Bagaimanapun keganasan itulah yang sangat digemari kaki pancing kerana dapat menguji kemahiran masing-masing. Apa pun yang diperkatakan terhadap spesies ikan yang cuma dikaitkan dengan ikan kering itu sebenarnya mempunyai rasa isi yang lazat walau dicelah-celah tulang tajam berselerak itu. Cara untuk mendapatkan isi ikan berkenaan dengan tidak menjejaskan isinya anda perlu kukus ikan talang berkenaan sehingga masak, kemudian mengeruk isinya menggunakan garfu. Isi ikan talang yang sudah tidak bertulang itu boleh dimasak mengikut selera masing-masing tapi yang terbaik anda boleh buat sup atau bebola ikan serta digoreng tepung. Kepada penggemar nasi goreng boleh juga menjadikan talang sebagai sebahagian dariapda rencahnya. Mereka yang alah boleh mencuba petua yang diturunkan diatas atau jika rasa takut jangan paksa untuk memakannya. Zikir dalam bot bawa ketenangan ADA beberapa petua Pak Nuri yang perlu diulang semula untuk memantapkan lagi keyakinan mengenai berkesan segala amalan yang diguna pakai terutama ketika berada di laut yang tiada penghujung mata memandang atau dikelilingi pulau yang wujud beratus juta tahun sekali gus tentu ada menyimpan misteri tersendiri atau dihuni penghuni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Daripada beberapa petua yang Pak Nuri nyatakan sebelum ini dalam halaman ini, mungkin masih ada yang tertinggal. Justeru dalam halaman kali ini Pak Nuri masih mengaitkan adanya pantang larang yang perlu diambil kira ketika di laut, bekas lombong di tengah belukar, tasik di belantara mahupun di kuala sungai apabila tibanya waktu senja (antara waktu siang bertukar pada malam). Pada waktu begini, kita kena lebih berhati-hati supaya tidak banyak (kalau boleh jangan sekali-kali) bersiul, menjerit atau menyanyi dengan suara yang lantang kerana laut yang dihuni oleh makhluk halus dan berkeliaran pada waktu begini. Tindakan kita berkeliaran dan bersuka-suka dikhuatiri akan mendorong makhluk itu mengusik kita yang tidak menyedari kedatangan mereka. Langkah terbaik pada waktu begini ialah memperbanyakkan berzikir atau berehat dengan membaca ayat suci al-Quran. Yang pasti, jangan lupa menunaikan solat wajib lima waktu. Lakukan ini untuk beberapa waktu setelah menjelang malam. Kemudian, kita boleh meneruskan aktiviti memancing dengan selesa. Namun dengan tidak bersiul, menjerit atau menyanyi dengan melepaskan suara yang kuat dibimbangkan akan mengundang bahaya tidak diundang atau tidak diduga daripada pihak kedua itu. Namun dalam apa juga yang kita lakukan terutama pada waktu malam atau di tempat yang dapat dirasakan berlainan, anda perlu melakukan zikir dan ini boleh dizahirkan dengan suara dengan kuat.
Pernah berlaku ketika melakukan zikir begini dapat diikuti oleh suara kedua yang tidak dapat dilihat wajah nyatanya. Cuma suara saja yang dapat didengar mengikut suara zikir kita, demikian cerita seorang tekong dari Parit Unas, Muar ketika penulis bertanya mengenai makhluk halus yang boleh mengikut bacaan ayat suci itu. Beliau tidak menolak mungkin adanya makhluk meniru mengikut bacaan kita mahu pun berzikir bersama tetapi cuma beberapa saat saja atau pada ayat-ayat tertentu saja. Justeru, kita harus mengalahkan suara kedua itu supaya kita menang dan suara kedua hilang kerana dengan kekalahan. Justeru, berzikirlah dengan pelbagai lagu atau irama kerana berzikir itu adalah ketenangan selain mendapat pahala. Jengkal joran untuk tangkapan lumayan PERNAH anda mendengar pemancing dulu yang menggunakan joran buluh terlebih dulu menyukat ukuran panjangnya dengan menjengkal joran berkenaan dengan menggunakan ibu jari dan telunjuk tangan kanan? Ukuran terbaik diguna pakai ialah pada ukuran bilangan jengkalan pada angka ganjil. Ini satu kepercayaan pada ketika itu. Malah ukuran itu juga turut dilakukan oleh sesetengah pemancing veteran yang beranggapan bahawa ukur ganjil itu boleh mendatangkan hasil tangkapan yang lumayan. Adakah anda percaya dengan kepercayaan ini? Jika itu dijadikan satu amalan yang membolehkan seseorang mendapat rezeki yang lumayan, mengapa hari ini rata-rata pemancing tidak menjengkal batang pancing sebelum membelinya? Justeru, tentunya kepercayaan ini sudah tidak dapat dipakai atau diterima lagi pada zaman sekarang yang serba-serbi moden ini. Tetapi apapun yang diamalkan dulu tetap masih boleh diterima pakai sebagai petua. Contohnya, mendahulukan kaki kanan ketika melangkah keluar dari rumah, membaca Bismillah dan selawat, tidak melangkah batang pancing, mesra dengan anak-anak dan isteri sebelum pergi memancing serta tidak digalakkan membawa kaki pancing yang panas baran mahupun mulut celupar. Perkara-perkara seperti ini harus difikirkan dengan teliti supaya tidak berlaku kekesalan jika berlaku sesuatu yang buruk yang membabitkan keseluruhan pemancing. Kembali kepada tindakan menjengkal bagi mengukur joran, penulis sekali lagi merisik pendapat seorang nelayan veteran dari Jeram dekat Sungai Buluh, Selangor mengakui bahawa amalan itu sangat berguna ketika itu. Ketika itu, joran buluh dibuat sendiri. Jadi, untuk mendapatkan imbang ukuran antara joran dengan tali perambut yang biasanya tidak melebihi satu depa maka joran turut dipotong menjadikannya satu depa. Itupun berpandukan pada ukuran genap atau ganjil. Joran itu dijemur hingga kering untuk dapat bertahan dengan aksi ikan besar. Kepercayaan pada masa itu sangat tebal mengenai perbuatan menjengkal joran lalu menjadi satu petua yang mesti diamalkan. Tetapi hari ini, amalan itu sudah tidak diguna pakai lagi tambahan pula joran yang dibeli sudah lengkap dengan cincin di bahagian hujung. Ini sudah pasti sukar untuk dipotong untuk mendapatkan ukuran ganjil. Apa pun, terpulang kepada anda sama ada hendak menggunakan joran buluh yang ukurannya dijengkal atau menggunakan joran sedia ada daripada pelbagai jenama terbaik lagi canggih. Udara segar laut boleh cegah mabuk
KEPADA pemancing, mabuk laut adalah asam garam dalam menjalani aktiviti berkenaan. Bagaimanapun, jika terasa mabuk ketika terperangkap dalam keadaan ribut dan gelombang besar, anda tidak harus menyorokkan diri atau terperap dalam kabin atau ruang tertutup. Sebaliknya, udara yang bertiup dari luar adalah bersih yang datangnya dari lautan dan boleh dianggap sebagai penawar mabuk atau pening. Udara segar itu perlu dimanfaatkan walaupun angin bertiup kencang. Di samping itu, pemancing harus tidak merebahkan badan atau berbaring dalam keadaan tempat yang sempit serta keadaan udara yang tidak bersih terutama terlalu hampir dengan enjin kerana bau asap diesel boleh menambahkan lagi rasa mabuk sekali gus anda akan terus muntah-muntah. Ketika bot dilambung ombak, anda mesti pandai mengimbang badan serta mengikut lenggok bot yang dibuai gelombang. Cara ini anda pasti dapat bertahan lebih lama daripada terus mabuk. Bersandar dengan mendedahkan pandangan jauh ke hujung ke laut adalah sebaik-baik amalan yang patut dijadikan petua. Cuma apa yang tidak patut dilakukan dalam keadaan kecemasan begini ialah tidak memaksa diri untuk melawan kerana ribut atau gelombang besar tidak boleh ditawan dengan kekuatan tenaga kecuali bertindak segera mencari kekuatan mental supaya anda terus dapat bertahan serta melalui cemas, khuatir dan perasaan bercampur-baur itu. Jika dalam keadaan mabuk, tindakan menelan pil sudah tidak berguna lagi. Apa yang mungkin dapat membantu diri anda daripada terus diserang mabuk laut ialah anda tidak perlu banyak bergerak atau bercakap banyak dalam bot yang sedang dilambung gelombang. Bagi mereka yang sudah dapat bertahan dengan keadaan begini, ertinya tidak mabuk laut perlu mengambil kira rakan yang sudah dilanda mual. Beri bantuan dengan memicit tengkuk sambil menggunakan minyak angin atau mencium minyak angin sambil menyedut udara laut yang segar. Basahkan mulut dengan mengunyah benda yang masam sebagai ubat tetapi bukan untuk makan biasa yang tentunya bakal dikeluarkan semula melalui muntah. Dalam apa juga bantuan, untuk mengelak daripada mabuk laut, pening atau muntah selain dari petua yang Pak Nuri turunkan sebelum ini dalam halaman Petua Pak Nuri, anda kaki pancing perlu membuat persediaan awal seterusnya tidak mendedahkan diri dengan sentiasa memandang air laut yang berombak atau bergerak berlebihan hingga anda tidak dapat mengawal diri jika keadaan laut bergelora. Jauhkan daripada memasang mata kail dalam bot kerana jarak pandangan mata yang dekat dan memfokus pada lubang pancing akan mengundang mabuk serta-merta. Kebelakangan ini, keadaan cuaca tidak menentu terutama di perairan laut sebelah Pantai Timur (Laut China Selatan). Justeru, langkah berjaga-jaga perlu diambil kira atau batalkan saja hasrat untuk turun memancing buat sementara waktu ini. Pemancing perlu bekas umpan kecil sendiri PETUA untuk memastikan ikan atau sotong umpan sentiasa berada dalam keadaan segar jika tidak diletakkan dalam keadaan hidup dalam satu tempat khas yang ada oksigen; tentunya bahan umpan itu dimasukkan dalam peti sejuk. Yang sebaik-baiknya peti sejuk itu tidak kerap atau sewenang-wenangnya dibuka bagi memastikan tahap sejuknya berterusan. Langkah terbaik ialah pemancing boleh mengambil beberapa ekor sotong dan ikan (jenis selayang atau selar) dimasukkan dalam bekas umpan. Bekas yang sebaik-baiknya ialah yang kecil kerana saiz ini mampu mengekalkan tahap sejuknya. Bekas umpan ini elok tidak dikongsi. Kerana cara ini juga boleh mengelakkan ketidakselesaan
memancing terutama ketika hendak menukar umpan. Justeru, adalah baik untuk tidak mengganggu rakan pancing yang lain dengan memiliki bekas umpan sendiri. Cuma ais mestilah sentiasa berada pada tahap sejuk. Satu perkara yang perlu diambil ingatan ialah umpan antara sotong dan ikan hendaklah diasingkan. Ini kerana kita tidak mahu kesan bau ini bersatu. Kelak ia akan menjejaskan minat spesies ikan karang di dasar laut. Namun dalam apa juga keadaan, umpan paling baik dan digemari oleh semua spesies ikan ialah umpan hidup yang tentunya boleh dipancing dari unjam manakala sotong dicandat atau disauk pada waktu malam bulan gelap. Umpan hidup seperti ini dijamin dapat memberi kejutan pada bila-bila masa saja apabila dilabuhkan. Namun begitu, harapan ini tidak semestinya menjadi kenyataan jika labuhan itu tidak mengena pada terumbu atau lubuk karang yang ada ikan. Untuk memastikan sasaran terbaik, sudah pastinya anda memerlukan alat pengesan. Apa pun, langkah terbaik bagi mengekalkan tahap umpan sentiasa segar, peti sejuk hendaklah digunakan dan sotong atau ikan hendaklah dilambakkan dalam peti sejuk umpan dan kemudian ditutup dengan guni basah. Oleh yang demikian, adalah baik jika pemancing mempunyai satu bekas umpan sendiri bagi menjimatkan masa memancing dan anda tidak berebut umpan. Cuma, anda tidak terlalu banyak mengambil umpan dari tong umpan utama. Kerana jika umpan diambil berulang kali dari tong utama, maka ini dibimbangi akan terjejas mutu dagingnya kerana tahap sejuknya tidak lagi maksimum. Diharapkan petua kali ini menjadi dengan syarat setiap kaki pancing membawa tong kecil sendiri. Joran sebatang cukup untuk teroka laut KITA sering berdepan dengan kerenah nafsu hingga mendorong dan mendesak kepada hasrat untuk membawa seberapa banyak peralatan ketika turun memancing. Akibatnya, perkakasan itu memenuhi segenap ruang dalam bot atau dalam kereta dan van ketika dalam perjalanan ke jeti. Ada sesuatu yang menarik ketika Pak Nuri berbual dengan seorang pemancing veteran dari perkampungan nelayan di Besut, Terengganu baru-baru ini. Dia hanya cuma membawa beberapa peralatan memancing yang difikirkan perlu untuk satu-satu masa. Cara ini sudah tentu dianggap lebih selesa dan kita tidak perlu memikirkan untuk membuat pilihan yang terlalu banyak ketika di atas bot. Sikap dan amalan ini dianggap paling sesuai. Justeru, Pak Nuri mencadangkan kepada semua kaki pancing terutama kaki pancing udang galah di sungai supaya tidak mengamalkan membawa joran pancing sehingga sepuluh batang yang diikat dalam satu berkas macam kayu api! Adalah lebih sesuai dan munasabah dengan menggunakan dua batang joran saja jika memancing di laut. Malah sikap membawa terlalu banyak joran juga dirasakan tidak selesa jika joran disambar ikan serentak. “Tentu kelam kabut dibuatnya,” kata pemancing veteran itu yang mendapat gelaran Pokde Deris sambil menggayakan dua belah tangan menjulang joran pancing. “Habis (kalau terlalu banyak joran) macam mana nak gulung tali?” katanya sambil ketawa besar mengingatkan peristiwa benar yang berlaku pada dirinya ketika muda dulu. Sambil meletakkan dua batang joran lamanya di lantai serambi rumah, dia menggeleng kepala kerana terlepas dua rezeki yang sudah berada dalam tangan kerana tidak dapat mengawal kedua-dua jorannya
dengan baik. “Kalau satu joran, kata adat dah tentu mangsa dapat didaratkan. Tetapi ada yang tamak maka rezeki terlepas begitu saja,” suaranya kesal lalu mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya tidak menggunakan joran pancing lebih dari dua batang dalam satu-satu masa. Cara ini juga tidak menyusahkan rakan pancing yang lain selain tidak banyak tali yang dilabuhkan ke dasar yang boleh mengundang tali tersangkut antara satu sama lain dalam keadaan arus yang kadangkadang bertukar sekelip mata. Justeru, daripada pengalaman Pokde Deris adalah lebih jelas dan baik untuk kita menjadikan petua amalan dengan membawa peralatan memancing secara terhad demi memberikan keselesaan kita yang hendak memancing dan tidak mengganggu rakan pancing yang lain. Ini sekali gus tidak membawa beban yang berat kerana tidak semua peralatan berkenaan di gunakan pada satu-satu masa. Keselesaan perlu diambil kira untuk memancing bukan beban yang banyak di bawa ketika hendak turun memancing sama ada di kolam, tasik, muara mahupun laut dan sungai. Usah berlagak hero SENGAJA mendedahkan diri pada bahang panas matahari dan hujan lebat atau berembun pada waktu malam adalah perkara yang perlu dielak semasa memancing di kolam, sungai atau tasik lebih lagi di laut. Panas terik akan mengundang kurang selesa dan bahang panas akan mengeringkan kulit kepala dan tubuh badan sekali gus tekak akan kering dan dahaga yang berterusan. Sebaik-baik langkah berjaga, pemancing kena cari tempat berteduh atau menggunakan topi lebar di kepala seperti kaum cina memakainya semasa bekerja di kebun sayur. Menutup seluruh badan dengan kain lembut dan boleh menyerap peluh adalah langkah paling baik tapi ini tidak harus di biasakan, kerana mungkin kulit badan kita tidak dapat bertahan dan ia akan menjadi ruam kulit atau bertanda seperti panau, lagi berbahaya jika membiarkan baju yang basah itu kering di badan. Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya panas terik dan hujan lebat dapat dielakkan tapi banyakan minum air panas sejuk dan tidak membiarkan perut kosong kerana dibimbangkan perut masuk angin. Andainya jika ini berlaku anda akan berdepan dalam satu keadaan paling rumit kerana rawatan tidak seperti di darat, namun apa pun keadaan jika penyakit ini tidak berkurang langkah terbaik ialah membawa mangsa pulang. Mengingati satu peristiwa yang dipetik dari cerita seorang kawan pancing dari Kahang Keluang Johor, terdedah pada bahang panas matahari yang panjang seorang pemancing jatuh pitam tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke jeti. Daripada peristiwa ini dapat dijadikan satu iktibar bahawa kita tidak harus mendedahkan diri pada bahang panas matahari atau hujan lebat dianggap membantu segarkan badan tapi sangkaan itu tidak dapat memberi janji yang tepat, justeru langkah terbaik kita tidak melakukan perkara yang boleh melibatkan diri kita kepada keburukan. Jangan jadikan panas terik dan hujan lebat sebagai permainan atau sengaja untuk menarik perhatikan kawan-kawan pancing bahawa akulah ‘jaguh’ tapi sebenarnya tindakan itu sesuatu yang memerangkap diri sebagai seorang yang paling bodoh. Kadang-kadang petua yang kurang diyakini tapi menjadi, malah tidak kurang yang tidak menjadi walaupun diyakini. Allah lebih berkuasa daripada semua kekuasaan yang diciptaNya justeru kepadaNya saja untuk kita meminta atas jalan kebaikan.
Bangun awal pagi dapat rezeki berganda Petua yang diamalkan oleh orang-orang terdahulu mengaitkan keyakinan walaupun kadang-kadang dirasakan tidak selari antara petua dan keyakinan Pada hakikatnya petua dapat bertahan lama daripada keyakinan yang sering berubah. Pak Nuri pernah merisik satu rahsia daripada beberapa orang nelayan veteran yang rata-rata sudah berusia tujuh puluhan yang terus mengamalkan bangun awal pagi sambil melakukan senaman ringan di halaman rumah sebelum menunaikan solat subuh. Selepas itu berjalan di kebun dengan melalui dicelah-celah daun pokok yang masih berembun bagi mendapatkan kesihatan badan. Melakukan tidur semula selepas solat subuh adalah satu amalan yang kurang baik sama ada dari segi kesihatan mahu pun rezeki. Menurut Pak Uyup, nelayan tertua di kampung Dumpar Muar, yang dikatakan sudah mencecah usia 105 tahun masih mengamalkan bangun awal pagi kerana udara pagi belum tercemar. “Walaupun tidak turun ke laut, tapi Atuk tetap bangun pagi dan tidak tidur selepas solat subuh,” Cerita Pak Uyup kepada penulis baru-baru ini sambil mengingatkan berkali-kali supaya air batu jangan diamalkan untuk minum terutama daripada ketul-ketul ais yang dicampur dalam gelas minuman. “Minum air batu memang lazat untuk hilangkan dahaga, tapi kita tak akan rasa puas. Berbeza kalau kita meneguk teh o panas tanpa gula,” tambah orang tua itu sambil mempelawa penulis minum bersamanya dengan teh o panas. “Minuman teh yang Atuk amalkan walau di mana Atuk pergi,” teh o tawar bagaikan penawar yang mengalir dalam tubuh dan terasa segarnya walau dalam keadaan bahang panas matahari ketika itu. Daripada apa yang dapat Pak Nuri timba amalan yang digunakan oleh Pak Uyup yang masih kuat ingatannya perlu dijadikan petua amalan bagi kita terutama pada kaki pancing yang terdedah dengan haus dahaga di tengah laut semasa memancing. “Kita kena amalkan walaupun dirasakan perbuatan ini satu penyeksaan pada mulanya, tapi pada penghujungnya adalah kebaikan. “Sambil itu bangun tidur pada waktu awal pagi dan tidak mengulangi tidur sebaik selepas solat subuh perlu dijadikan amalan dan Allah berfirman dalam Al-Quran. - Telah aku taburkan rezeki yang banyak pada waktu awal pagi, berlumba-lumbalah kamu meninggalkan rumah untuk mencarinya dan akan aku gandakan rezeki itu jika kamu benar-benar ikhlas tidak mengulangi tidur hingga matahari terbit. Tangkapan lumayan jika tidak mandi? Oleh Nuri Angkasa
ADA sesetengah berpendapat bahawa selama mana memancing, kita dilarang mandi atau menukar pakaian kerana perubahan ini boleh menjejaskan tangkapan ikan. Apakah ini sesuatu yang melucukan? Apakah asas dan rasionalnya? Ketika kita mengejar perubahan dan melaksanakan pembangunan negara dengan teknologi moden sekarang, tindakan tidak mandi atau enggan menukar pakaian ketika ekspedisi beberapa hari di laut pastinya mencetuskan keadaan kurang selesa.
Pak Nuri percaya, ramai pemancing sekarang tidak mahu cara lama itu diamal atau dijadikan petua. Tetapi apa pula pendapat seorang tekong lama yang sebelumnya veteran nelayan dari Umbai, Melaka yang kini sudah berusia 90 tahun. Beliau masih kelihatan berdaya lagi jika diajak turun memancing di Pulau Besar. Beliau mahu dikenal sebagai Tok Deris Serkam ketika ditemui di warung ikan bakar Serkam Laut. Beliau tidak menolak amalan nelayan dulu yang tidak mandi ketika memancing. Katanya, itu adalah petua yang sering diamalkan kerana sampan dulu kecil dan sempit yang tidak membenarkan kita berdiri atau bergerak bebas apa lagi untuk mandi. Malah jangka masa turun ke laut pun tidak melebihi 24 jam. Justeru, mereka tetap menganggap peluang untuk mandi ketika turun di laut tidak berlaku. “Sekarang dah banyak berubah. Bot dah besar macam kapal. Lebih dari sepuluh orang boleh turun memancing dalam satu masa. Ada dapur masak. Ada tandas, tentu saja boleh mandi,” kata Tok Deris Serkam sambil ketawa dengan mempamerkan dua batang gigi yang masih bertahan tetapi mata dan pendengaran masih baik. Mengaitkan mengenai bau dengan ikan di laut yang dianggap ada sentuhan halus yang kita sendiri tidak tahu, Tok Deris agak sukar untuk menidakkan hubungan bau itu kerana mereka (nelayan) dulu memang tidak mandi tapi tangkapan ikan memang lumayan, ikan memang banyak. “Ini terpulang kepada keyakinan dan kepercayaan seseorang. Rezeki bukan di tangan kita. Allah yang menentukan dan tentunya tidak berkait dengan bau badan yang tidak mandi atau dengan mandi berpuluh kali,” kata orang tua itu lagi. Namun pandangan Pak Nuri adalah lebih baik pemancing di laut yang melakukan ekspedisi memancing tiga hari dua malam harus berada dalam keadaan selesa dengan pakaian bersih supaya kita dapat bertahan lama untuk melakukan aktiviti memancing. Justeru berpandukan faktor ini, kepercayaan bau badan daripada pemancing yang tidak mandi boleh dikaitkan dengan sentuhan halus dengan ikan dalam laut itu ternyata tidak boleh diterima pakai bagi generasi sekarang yang turun memancing dalam bot besar dan lengkap pelbagai kemudahan. Namun petua lain yang masih relevan perlu diamalkan demi keselamatan diri dan kumpulan kerana petua adalah yang terbaik jika diamalkan. Kejar waktu jangan lupa makan KADANG-kadang pemancing tidak mengira waktu untuk berehat, tidur atau makan semasa ekspedisi memancing yang berlarutan hingga tiga hari dua malam atau lebih daripada itu. Justeru jadual untuk menjaga kesihatan diri juga perlu diatur bersama dengan aktiviti memancing supaya kita dapat bertahan lebih lama dalam keadaan yang selesa. Petua Pak Nuri kali ini adalah langkah terbaik membahagikan masa memancing pada waktu tertentu seperti pada pagi sebelum fajar dan selepas fajar. Waktu hampir senja sebelum terbenam matahari dan tengah malam. Selain daripada waktu tertentu itu kita boleh memilih waktu arus air lemah antara air pasang dan surut. Kita kena memburu waktu yang terhad ini dan selepas itu kita boleh berehat untuk menyimpan tenaga supaya sentiasa aktif. Pertemuan dengan Pak Ayub yang sesekali masih turun ke laut melangai udang di Selat Melaka mengamalkan waktu air mati dan cuaca untuk turun ke laut. Pertemuan singkat di kuala sungai Parit Jawa Muar, Pak Ayub, yang berusia 85 tahun masih gagah mengisi tugas sebagai warga pelaut tidak menolak ajakan untuk memburu umpan di kawasan lubuk atau karang. Pak Ayub berkata waktu dan masa seperti yang disebutkan di atas perlu diamalkan dan dengan cara
begitu kita mempunyai masa untuk berehat yang agak panjang. “Kita tak perlu terus menerus memancing sampaikan lupa waktu malam, solat dan berihat, sedangkan ketika itu ikan langsung tak minat mencari makan, jadi kita nak buat tunggu,” kata Pak Ayub. Cakapnya ada benarnya melalui pengalamannya yang sudah begitu lama berkawan dengan laut jadi petua yang baik ini perlu dijadikan pedoman oleh generasi hari ini yang berhajat untuk menjadi pemancing yang boleh bertahan lama di laut. Penting membahagikan masa dan berbincang selalu dengan tekong untuk mendapatkan waktu sesuai untuk memancing supaya kita tidak bosan menunggu begitu lama terutama menunggu masa ikan mencari umpan. Justeru petua harus di jadikan pedoman dan mengamalkannya. Selalu tukar umpan mampu gamit ikan Oleh Nuri Angkasa
SEORANG tua lelaki yang agak uzur wajahnya selalu berada di warung Pak Jantan yang berdepan dengan Kuala Linggi. Orang tua itu menggemari minuman kopi o keras tidak bergula dan Pak Jantan adalah sahabat baik dengan orang tua itu. Mereka berdarah pelaut bermula dengan meneroka kawasan pantai di Kuala Linggi lalu menetap kekal di kawasan berkenaan. Penulis yang terpanggil ke warung Pak Jantan dalam perjalanan ke Port Dickson baru-baru ini, sempat singgah lalu berkenalan dengan Pak Dolmat dan sekali gus diajak sama meneguk kopi o tanpa gula. “Wow! Pahit,” kata penulis ketika meneguk kali pertama dan hampir meludah keluar tetapi dapat bertahan lalu cepat-cepat menelannya. Pak Jantan dan Pak Dolmat ketawa sambil menepuk bahu penulis. “Itu permulaan, memang pahit. Tetapi bila dibiasakan, tentunya rasa pahit tak ada lagi,” kata Pak Dolmat sambil menghirup kopinya dengan berselera. Soal kopi o pahit tidak bergula ditinggalkan seketika kerana tujuan penulis singgah di warung Pak Jantan untuk mendapatkan petua bagaimana cara umpan dapat bertahan lama dalam air laut walaupun keadaan arus terlalu deras. Pak Jantan dan Pak Dolmat sependapat bahawa jika dalam air melebihi 50 meter dan arus terlalu deras, pemancing dinasihatkan mengguna umpan yang liat seperti isi sotong segar atau isi ikan selayang segar atau ikan hidup. Cara menurunkan umpan ke dasar juga perlu diberi perhatian. Anda tidak boleh serta-merta atau terus menghulurnya ke dasar kerana cara ini dibimbangkan umpan isi ikan yang tidak segar akan tanggal dari mata kail dengan sendirinya. Cara paling baik anda perlu menurunkan umpan dengan perlahan dan berhenti seketika dan teruskan semula. Lakukan ini beberapa kali hingga batu ladung mencecah dasar. Seperti biasa apabila mencecah dasar, gulung sedikit tali supaya umpan terampai-ampai. Kita juga perlu selalu menukar umpan dengan yang baru kerana kadang kala anda tidak sedar bahawa umpan sudah lama hilang dari mata kail dan ini tentunya menghampakan anda untuk mendaratkan ikan.
Petua selalu menukar umpan adalah sesuatu yang terbaik untuk diamalkan dan tentunya dapat menarik minat ikan di dasar. Petua yang sama juga selalu diceritakan oleh pemenang acara GP Joran sejak 10 tahun lalu. Kawal tekanan perasaan Oleh Nuri Angkasa
KETIKA memancing di laut pemancing sering kali didatangi rasa tertekan mungkin kumpulan mereka tidak mendapat ikan atau individu terbabit kurang bernasib baik. Sedangkan dalam masa yang sama rakan pancing yang lain berjaya mendaratkan satu demi satu ikan. Rasa tertekan di kalangan ahli yang kurang bernasib baik itu tambah menebal dan jika tidak dapat dikawal keadaan akan menjadi lebih buruk. Pernah berlaku dalam satu kumpulan, seorang yang kurang bernasib baik mengutuk dirinya sendiri lantas menuduh rakannya lain ada menyimpan hantu laut atau ilmu hitam yang boleh menjinakkan ikan di laut. Lantas beliau menggantung joran pancing, tidak lagi berminat untuk meneruskan aktiviti memancing, namun ekspedisi tiga hari dua malam itu mencatat satu pengajaran baru bagi insan pemancing yang tidak pernah bersyukur atas nikmat yang Allah berikan itu apabila seorang lagi rakan pancing dalam kumpulan itu yang juga menerima nasib sepertinya, tapi rakan itu terus bersabar dan dengan tenang menanti ikan meragut umpan yang dilabuhkan itu. Akhirnya berkat sabar sambil berusaha, beliau paling banyak meraih rezeki daripada rakan yang lain. Menyedari bahawa tekanan perasaan yang lahir daripada perasaan cemburu terhadap rezeki kawankawan hingga sanggup menuduh perkara yang bukan-bukan hingga membuatkan dirinya sendiri jadi mangsa dari tekanan dirinya sendiri. Jika tuduh menuduh itu hanya untuk gurauan ketika memancing tidak mengapa, tetapi jika selepas pulang ke tanah besar perasaan marah terus berkubu dalam hati ini akan menjadi lebih buruk dan ini boleh menimbulkan perkelahian. Justeru atas kesilapan itu beliau akhirnya sedar bahawa petua paling baik ialah sentiasa bersabar dan bersyukur walau cuma mendapat seekor anak ikan gelama. Allah tidak pernah zalim terhadap hambanya. Rahsia sepinggan nasi makan bersama SEPINGGAN nasi dimakan bersama, seketul kuih jamah menjamah, inilah peribahasa yang mengaitkan keharmonian dalam berumah tangga. Malah berpandukan kepada peribahasa ini, pasangan suami isteri akan menjadi lebih mesra dan ini tidak harus bermusim ataupun cuma dilakukan ketika dalam keadaan tertentu saja. Bagi pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, amalan sepinggan nasi makan bersama perlu dijadikan petua, demikian amalan bagi veteran nelayan dari Pontian, Johor. Pak Shamsuri, 85, bersama pasangannya Saleha, 80, masih mengekalkan prinsip sepinggan nasi makan bersama, bergurau senda sambil mengamalkan kata-kata klasik, berterus terang antara satu sama lain dan bantu membantu. Malah sikap yang mereka amalkan ini juga menjadi contoh kepada anak, cucu malah cicit dan menantu. Ketika ditemui penulis baru-baru ini, mereka kelihatan ceria seperti zaman muda dulu. Cuma pendengaran kedua-duanya sedikit kekurangan dek faktor usia. Namun daripada apa yang terukir pada
wajah tua yang sudah berkedut itu nyata mereka mengamalkan petua yang berkait rapat dengan peribahasa sepinggan nasi makan bersama. Apa pun ada banyak lagi usaha yang perlu diamalkan atau dijadikan petua sebagai langkah mengekalkan tonggak bahagia rumah tangga terutama bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga. Pak Nuri turut mengamalkan petua terbaik ini. Walau pun ada rasa malu apabila diperhatikan oleh cucu yang sudah dewasa. Tetapi ini juga adalah satu contoh yang baik untuk mereka dalam persediaan mengisi jalan yang lebih dewasa pada masa akan datang. Begitu juga dalam bersahabat, terutama untuk pemancing. Soal makan di dalam bot atau ketika di lokasi jangan terlalu individualistik. Jika ada makanan atau bekalan yang dibawa perlu dibahagikan maka jangan terasa berat hati untuk melakukannya kerana ini akan memberi keberkatan serta menambah rezeki. Jika kita sanggup berkongsi maka Allah akan membukakan hati orang lain untuk berkongsi dengan kita. Rawatan ketika mabuk laut Oleh Nuri Angkasa
BIASANYA, kita kurang berminat untuk memberi pertolongan kepada rakan pancing yang muntahmuntah dalam bot ketika keluar memancing. Alasannya kerana bimbang kita pun turut sama akan muntah. Sepatutnya menjadi tanggungjawab anda untuk memberi rawatan kepada mereka yang menghadapi situasi berkenaan. Sekurang-kurangnya mengurut tengkuk mangsa supaya muntah keluar lebih lancar supaya lebih cepat lega. Rakan yang muntah sudah tentu tidak berdaya untuk bangun atau bergerak jika keadaan berlarutan. Langkah pertama, anda harus membantu mereka supaya duduk bersandar dan memicit bahagian tengkuk serta pangkal telinga dengan perlahan-lahan. Mangsa muntah perlu diberi minum air suam dengan banyak bagi mengelak daripada kering mulut dan perut. Malah jika perlu bancuh air gula bercampur garam bagi menggantikan cecair badannya yang sudah habis keluar bersama muntah. Jika ini dilakukan, mangsa akan lebih cepat segar. Dengan apa cara sekali pun perut mesti diisi. Ini kerana selepas menerima minuman atau makanan ringan, mangsa akan muntah semula. Anda jangan panik kerana ini satu cara rawatan yang perlu lakukan. Rakan yang muntah perlu direhatkan daripada sebarang aktiviti memancing demi untuk memulihkan kesihatan dan kesegaran tubuhnya. Namun dalam apa jua keadaan, mangsa muntah perlu dikawal kerana ketika memancing dalam bot, kemudahan rawatan adalah terhad. Justeru, anda adalah jururawat dan anda juga doktor ketika itu. Langkah terbaik, rehatkan mangsa muntah dalam keadaan separuh berbaring di luar kabin atau di tempat terbuka. Kalau boleh di belakang bot. Ini untuk mendapat udara laut yang segar. Tetapi ingat, pastikan mangsa tidak menyedut asap enjin kerana boleh memburukkan keadaan. Mangsa muntah jangan diganggu. Benarkan mereka tidur terus sehingga terjaga sendiri. Insya-Allah mereka yang terbabit itu akan beransur pulih dan dapat meneruskan aktiviti memancing. Tetapi anda tidak perlu memaksa diri mereka untuk melawan pening dan muntah selepas baru pulih.
Tembakau untuk perubatan alternatif Oleh pak Nuri
RAMAI pemancing masih tidak mengetahui tembakau yang diadun secara tradisi untuk dihisap bersama rokok daun nipah terutama tekong bot mempunyai khasiat yang berguna terutama untuk perubatan alternatif sebelum mendapat ubat yang betul atau dihantar ke hospital. Pernah berlaku kepada pemancing di Pantai Timur yang kehabisan ubat setelah mereka terluka kena mata kail menyebabkan banyak darah keluar. Tekong yang secara kebetulan menghisap rokok tembakau tradisional mengambil sedikit tembakau yang diadun secara tradisi dan dibasahkan dengan air. Selepas itu tembakau berkenaan ditampal pada mata luka dan dibalut dengan kain bersih. Dalam masa kurang daripada setengah jam darah yang mengalir dari mata luka berhenti serta merta dan sejam lepas itu pemancing dapat meneruskan aktiviti seperti biasa. Kepada tekong atau nelayan tradisi mereka memang selalu membawa tembakau, jika tidak menghisap pun mereka akan simpan untuk dijadikan ubat. Getah tembakau yang kelat boleh dijadikan ubat untuk menahan darah atau untuk sengatan binatang biasa kecil seperti lipan atau kala jengking. Disebabkan hari ini teknologi perubatan sudah semakin maju cara tradisional hampir dilupakan. bagaimanapun kepada nelayan tempatan mereka masih mengekalkan perubatan alternatif dengan membawa daun sireh, tembakau, cuka, bawang putih sebagai pengganti ubat jika terkena musibah. Untuk itu kepada pemancing yang sering ke laut walaupun mempunyai ubat yang mencukupi perubatan tradisi perlu disediakan kerana ia boleh dijadikan satu cara perubatan sementara untuk mendapat khidmat perubatan moden. Jangan lupa halia, bawang putih Oleh Pak Nuri
KETIKA rasa ghairah membuat persediaan turun memancing, ramai kaki pancing lupa kepada beberapa petua yang perlu diamalkan seperti menyediakan ubat-ubatan menahan bisa, sakit perut, pening kepala atau sakit gigi serta disengat binatang bisa. Keperluan ini sangat penting untuk dibawa bersama sama ada secara kumpulan atau individu walaupun keperluan berkenaan ada disediakan dalam bot atau kotak ubat, namun langkah berjaga-jaga perlu dilakukan kerana ada kemungkinan tekong atau ketua kumpulan terlepas pandang mengenai ubat yang perlu dibawa dalam setiap kotak atau beg pemancing. Pernah berlaku pada satu trip memancing laut dalam apabila seorang pemancing terkena sengat ikan pari. Sebagai langkah bantuan untuk menahan bisa, tekong bergegas membuka kotak ubat yang tersedia tetapi semua ubat yang diperlukan sudah kehabisan. Keadaan menjadi kelam kabut dan mencemaskan. Bagaimanapun seorang daripada pemancing lain dalam kumpulan berkenaan bertindak memicit bahagian yang terkena sengat untuk mengeluarkan bisa dan kemudian menumbuk halia bersama bawang putih lalu dilumurkan pada tempat luka yang terkena sengat itu. Langkah ini dapat mengurangkan rasa sakit kerana panas halia bercampur bawang putih dapat melawan
sakit. Bagaimanapun ia perlu dirawat terlebih dulu. Daripada peristiwa yang berlaku langkah terbaik suiaya kita semua tidak mudah panik, tetapi perlu memberikan kerjasama dan cepat memberi bantuan. Kepada tekong berpengalaman, mereka tetap mempunyai beberapa jenis rempah ratus selain untuk masak sekurang-kurangnya sebagai pilihan kedua apabila ubat yang diperlukan tertinggal atau kehabisan. Peranan halia dan bawang putih amat penting kerana kepercayaan masyarakat Cina dua rempah berkenaan dapat membuang angin dalam badan dan dapat menyedut biasa jika terkena sengat binatang atau ikan berbisa. Berpatah balik selepas separuh perjalanan Oleh Nuri Angkasa LANGKAH kaki ketika keluar rumah menjadi perkiraan serius bagi sesetengah orang. Justeru, berpatah balik setelah mengatur perjalanan jauh adalah satu perbuatan yang kurang baik. Tetapi hakikatnya itulah yang sering berlaku apabila seseorang sanggup membatalkan niat ke sesuatu lokasi kerana semata-mata berlaku perkara tertentu yang dianggap tidak wajar bagi meneruskan perjalanan. Namun tidak ramai yang memikirkan petanda kurang baik daripada apa yang dilakukan itu. Kerana berpatah balik itu nyata satu petanda perjalanan itu tidak harus diteruskan pada waktu itu. Justeru, ambillah tindakan untuk pulang jika kita benar-benar faham mengenai detik hati, gerak rasa atau petua. Langkah terbaik yang perlu dilakukan ialah anda harus berehat untuk beberapa ketika di rumah atau di mana saja destinasi yang membabitkan anda berpatah balik. Atau, adalah lebih berkat lagi dengan mengamalkan petua seperti menunaikan solat sunat dua rakaat dan bermohon kepada Allah supaya perjalanan anda seterusnya akan diberkati, lancar dan beroleh keselamatan. Kita tentu jarang-jarang memikirkan atau tidak langsung mahu menjadikan iktibar daripada perkara ini. Ingat, sikap mengambil ringan atau tidak endah sering membawa padan buruk. Namun tidak ramai daripada kalangan kita terutama mereka yang berdarah muda yang sentiasa memburu masa; mengambil kira ada tanda-tanda buruk yang sudah ditunjukkan pada peringkat awal. Kerana itu adalah lebih baik pada pandangan Pak Nuri yang melalui beberapa peristiwa yang ada baiknya, jika anda berpatah balik kerana ada barang yang tertinggal di rumah walaupun anda sudah melakukan separuh perjalanan ke destinasi. Apa yang perlu dibuat ialah anda perlu berehat di rumah atau tidak digalakkan untuk meneruskan perjalanan. Berehat untuk beberapa ketika, tunaikan solat sunat dua rakaat dan kemudian bolehlah meneruskan perjalanan anda dan sentiasa ingat kepada Allah bermohon untuk selamat dalam perjalanan. Memancing elok berkawan BIASANYA ada perundingan kecil sebelum menetapkan tarikh turun memancing sama ada di kolam, tasik, sungai atau laut. Cara begini sangat baik, tapi ada kalanya cara begini juga gagal dapat kata sepakat. Perkara ini timbul apabila ada pihak dalam kumpulan sering rasa tidak puas hati dengan satu pihak lain.
Kaitan yang sering dilakukan ialah dengan mengatakan pihak berkenaan menggunakan ilmu hitam, membawa tangkal dan pelbagai tuduhan sebelum turun memancing. Pernah berlaku satu kumpulan yang menamakan dirinya �Memerang� tidak dapat turun memancing dalam tempuh berbulan lamanya disebabkan bertelagah sesama sendiri. Apa pun petua terbaik harus diambil kira dengan mengenepikan cara berfikir yang sudah tidak relevan di zaman pembangunan ini, tapi bukan semua cara lama harus dibuang. Penulis baru-baru ini bertemu dengan seorang nelayan veteran di Pantai Remis, Perak yang masih mengekalkan cara berkumpulan untuk turun memancing, sama ada di sungai atau laut dalam, sekali gus mengamalkan istilah lama �Jalan seorang kita mati - jalan berdua kita berkawan� lantas menolak ilmu hitam yang dipakai rakan pancing menyebabkan rezeki hilang dalam tangan, atau ikan lari ketakutan. Tafsiran ini salah dan bercanggah dengan ajaran agama Islam. Allah yang menentukan segala apa yang terjadi bukan menggunakan ilmu hitam atau tangkal. Untuk itu dalam segala hal yang ada hubung kait dengan memancing sama ada di sungai, tasik atau laut cara berkumpulan adalah yang terbaik dan tidak timbul untuk memikirkan pihak tertentu ada memakai ilmu hitam atau menggunakan hantu. Petua baca selawat dan bismillah sebelum melangkah meninggalkan rumah dan baca selawat berkumpulan sebelum masuk dalam bot, Insya-Allah kita akan beroleh selamat. Jangan memancing semasa kilat CUACA banyak memainkan peranan penting dalam sebarang aktiviti sukan dan riadah. Begitu juga dengan aktiviti memancing, cuaca tetap menjadi sebahagian daripada fenomena yang penting terutama ketika berada di tengah laut dan jauh dari pulau dan tanah besar. Pernah berlaku beberapa peristiwa semasa satu kumpulan pemancing muda melakukan ekspedisi memancing di laut berhampiran perairan Pulau Bidong Terengganu, beberapa tahun lalu. Menurut cerita Pak Wan Dollah, tekong veteran yang kini sudah berusia 88 tahun dan tidak lagi turun ke laut tapi masih dapat mengingati kumpulan yang tidak mengindahkan larangan atau petua ketika memancing ketika berlaku kilat sabung menyabung. Jika berlaku sebarang suasana sedemikian pemancing tidak digalakkan mendedahkan diri di tempat lapang yang terbuka atau tidak memegang joran atau memegang batang besi kerana ia mudah disambar petir. Menurut Pak Wan Dollah, ketika membawa rombongan pemancing beliau menasihatkan kaki pancing supaya patuh kepada petua seperti yang dinyatakan di atas tapi petua itu langsung tidak diendahkan sebilangan pemancing yang terdiri daripada lapan orang anak muda. Dalam suasana cuaca yang berubah dengan tiba-tiba angin kencang bertiup berserta guruh dan kilat, gelombang besar mula mengubah ganas di laut yang tadinya tenang. Pak Wan Dollah mengarahkan kaki pancing supaya beredar masuk ke kabin dan tidak mendedahkan diri bagaikan mencabar kilat yang mula memanah beberapa kaki pancing yang degil itu.
Suasana menjadi kelam kabut kerana tiga pemancing pengsan apabila joran pancing mereka disambar kilat. Pak Wan Dolah terpaksa melakukan rawatan daripada pengalamannya yang luas dalam menghadapi situa si begitu. Rakan pancing lain menginsafi kedegilan setelah melihat rakan mereka yang dan tidak langsung mahu mendengar nasihat tekong atau mengamalkan petua yang baik itu. Justeru nasihat Pak Nuri perlu elakkan diri daripada mencabar kilat dengan mendedahkan diri kepada keadaan sedemikian. Berhentikan sebarang aktiviti memancing semasa guruh dan kilat sabung menyabung. Berlindung di tempat yang selamat serta berzikir untuk kebaikkan semua. InsyaAllah Tuhan akan mengingati kepada orang yang ingat kepadanya. Air tawar halang terik matahari SEMASA menghadapi cuaca panas yang terus berbahang semasa memancing di laut kita bakal berdepan dengan suasana tidak selesa terutama bumbung pelindung bot tidak cukup besar untuk menampung keseluruhan bot. Justeru langkah terbaik pemancing perlu mengunakan topi lebar (seperti pekebun sayur wanita cina). Selain itu baju tebal berwarna putih yang dapat menyerap peluh juga sebaik-baik pakaian yang perlu digunakan. Baju yang berupaya menyerap peluh ini dapat menyegarkan kita kerana sentiasa lembab berbanding dengan mereka yang tidak berbaju kerana pendedahan terbuka kepada matahari menyebabkan kulit badan menjadi kering dan mudah menggelupas. Dalam apa juga keadaan suhu badan harus diletakkan dalam keadaan sederhana dengan mengambil kira keadaan sekitar yang mesti ada ruang untuk mendapatkan angin laut yang terbuka. Tuala perlu dibasahkan dengan air tawar, bukan dengan air laut yang masin. Tuala basah di bungkus di kepala supaya bahagian kepala dapat bertahan daripada panas mata hari dan segarnya dapat bertahan lebih lama. Langkah terbaik dan sangat berkesan pemancing perlu banyak minum air sejuk (air mineral) bukan yang disejukkan dalam peti sejuk nelayan atau mengambil ketul ais untuk di minum sama. Ketul ais yang dibekalkan untuk menyegarkan ikan bahaya untuk diminum. Pemancing juga tidak digalakan terus mandi dalam keadaan badan yang masih berbahang panas. Anda perlu mengambil masa untuk beberapa minit berihat sebelum mandi. Air tawar yang dibawa dari darat adalah terbaik untuk menghalang bahang panas matahari. 'Tidur-tidur ayam' selamat nyawa TIDUR memainkan peranan penting kepada kesihatan seseorang sama ada semasa memandu kenderaan di daratan atau mengendalikan bot, atau kapal semasa di lautan. Jika mengantuk yang tidak terkawal boleh membawa mudarat seperti terbabit dalam kemalangan sama ada di jalan raya atau di laut. Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman di laut selain menjadi tempat kita mencari rezeki, laut juga tempat yang penuh dengan cabaran walaupun tidak sesibuk se perti di darat. Namun laut tetap dikategorikan sebagai tempat berbahaya yang mesti difikirkan sebelum melangkah turun ke laut.
Pengalaman yang hendak dikongsikan kali ini walaupun dianggap ringan tapi faedahnya besar. Kaki pancing yang sentiasa menjalani aktiviti memancing di laut digalakkan supaya belajar `tidur-tidur ayam' terutama kepada tekong. Cara berkenaan mempunyai kebaikan terutama untuk menjaga keselamatan dan bertindak pantas jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Tidur-tidur ayam dalam bot tidak banyak menimbulkan masalah kerana tidak perlu disediakan tilam atau bantal kerana kita bukan bertujuan untuk tidur nyenyak semasa menjalankan aktiviti memancing namun tidur untuk berehat supaya mendapat semula tenaga, sebelum meneruskan aktiviti memancing yang mungkin berlarutan hingga beberapa hari. Tidur nyenyak yang panjang ketika di laut merugikan masa yang sepatutnya digunakan untuk memancing, sebab itu tidur-tidur ayam digalakkan supaya masa memancing lebih panjang. Satu lagi tidur-tidur ayam juga untuk menjaga keselamatan. Pernah berlaku peristiwa yang hampir meragut nyawa sepuluh pemancing dalam satu bot yang dapat mengubah haluan kapal dagang daripada melanggar bot pemancing terbabit. Pemancing yang tidur-tidur ayam dapat melakukan tindakan keselamatan dengan memberi isyarat lampu kepada kapal terbabit yang akhirnya dapat dikesan oleh kapal yang berhadapan dengan mereka. Sebab itu kebanyakan tekong dan pemancing berpengalaman tahu cara bagaimana untuk tidur-tidur ayam ketika berada di laut. Hilang punca jalan keluar SESAT sering berlaku semasa mencari jalan keluar dari lokasi memancing di terutama lombong tinggal atau tasik dalam hutan, namun pengalaman seorang bekas sarjan komando tentera darat, dapat dijadikan petua untuk diamalkan bersama kaki pancing. Petuanya mudah, lakukan menakik pokok pada permulaan kita masuk ke hutan dengan meletak ranting pokok yang ditajamkan bahagian hujung menghala ke lokasi. Tanda berkenaan perlu dibuat setiap 5 atau enam meter sehingga sampai di lokasi. Semasa pulang ikut jalan yang dilalui dengan menjadikan tanda sebagai panduan. Cara begini anda pasti tidak akan sesat namun perlu berhati-hati kadang-kadang timbul kekeliruan disebabkan hilang atau salah tunjuk. Jika timbul kekeliruan anda jangan penik dan hentikan perjalanan bagi mengelakkan terus sesat. Teruskan mencari tanda jangan berpecah jika dalam kumpulan kerana berpecah itu akan mengundang masalah yang lebih buruk. Ini pernah berlaku dalam kumpulan pemancing yang hilang arah untuk pulang lalu berpecah dua kumpulan untuk mencari arah pulang dengan mencari ranting pokok yang dipatahkan, bagaimanapun kedua-duanya akhirnya jauh meninggalkan jalan mula yang ditanda. Akhir dua kumpulan berkenaan hilang antara satu sama lain hingga bermalam dalam hutan tebal. Mereka akhirnya di selamatkan oleh satu lagi kumpulan pemancing yang mengunakan jalan yang sama tidak jauh dari tempat kedua-dua kumpulan yang sesat itu. Berpandu kepada peristiwa ini Pak Nuri syorkan supaya arah tuju mesti ditanda semasa melalui hutan tebal atau lorong dalam hutan. Jangan sekali-kali berpisah jauh daripada tanda yang sudah dibuat. Petua ini mesti di amalkan. Jangan meludah dalam laut
DALAM dunia nelayan ada banyak pantang larang yang kadangkala tidak dapat diikuti dengan teratur, namun daripada beberapa aspek yang lojik perlu diamalkan terutama petua yang mendatangkan kebaikan. Nelayan terdahulu yang mengamalkan petua dan pantang larang seperti tidak membawa pulut kuning, telur, daging mentah, bertih sering dikaitkan sebagai makanan syaitan di laut, hari ini pantang larang itu tidak diendahkan oleh pemancing dan tekong bot sendiri. "Kita yang nak makan, bukan nak jamu orang atau makhluk lain," itu yang diperkatakan oleh mereka dan rata-rata menolak dakwaan ribut yang datang itu bukan daripada petua yang salah. Apa pun ada baiknya diterjemahkan semula petua yang boleh diamalkan seperti bersiul pada waktu malam, menjerit-jerit, mulut lantang yang tidak bertapis cakap, mencabar untuk berentap dengan ikan sebesar kapal atau mengunakan ilmu hitam yang bertentangan dengan ajaran Islam. Lebih daripada itu mereka sanggup mengunakan kain kapan orang mati yang diambil dari kubur yang baru di kebumikan, tali orang mati digantung malah banyak lagi perkara yang salah di gunakan. Ini bukan saja mengundang dosa tapi akan berdepan dengan bahaya di laut yang bukan sedikit. Petua atau amalan begini tidak boleh dipakai sama sekali. Sebaliknya melangkah turun dari rumah dengan mengingati Allah adalah sebaik-baik amalan dan meludah di laut segera dihentikan kerana laut tempat kita mencari rezeki yang perlu dihormati. Rezeki yang kita ambil dari tempat berludah adalah satu perbuatan jijik malah dijadikan makanan untuk keluarga. Justeru adalah lebih baik supaya kita tidak meludah di laut sesuka hati, berludah saja dalam plastik atau tidak membuang benda-benda kotor di laut. •
Buah-buahan masam ubat mabuk laut
•
Memancing duduk ketika gelora lebih selamat
•
Buaya pantang dayung melintang
•
Keselamatan memancing penting
•
Rahsia air jerang berkhasiat tinggi
•
Cara elak alah ikan talang
•
Zikir dalam bot bawa ketenangan
•
Jengkal joran untuk tangkapan lumayan
•
Udara segar laut boleh cegah mabuk
•
Pemancing perlu bekas umpan kecil sendiri
•
Joran sebatang cukup untuk teroka laut
•
Usah berlagak hero
•
Bangun awal pagi dapat rezeki berganda
•
Tangkapan lumayan jika tidak mandi?
•
Kejar waktu jangan lupa makan
•
Selalu tukar umpan mampu gamit ikan
•
Kawal tekanan perasaan
•
Rahsia sepinggan nasi makan bersama
•
Rawatan ketika mabuk laut
•
Tembakau untuk perubatan alternatif
•
Jangan lupa halia, bawang putih
•
Berpatah balik selepas separuh perjalanan
•
Memancing elok berkawan
•
Jangan memancing semasa kilat
•
Air tawar halang terik matahari
•
'Tidur-tidur ayam' selamat nyawa
•
Hilang punca jalan keluar
•
Jangan meludah dalam laut